Adakah ibu menyusu boleh mengandung?
“Kalau menyusukan anak, mesti tak datang bulan lagi. Mana boleh mengandung!”, pernah tak anda dengar ayat ini?
Ada sesetengah orang yang percaya yang selagi wanita menyusukan anak secara eksklusif, wanita tersebut tidak akan mengandung.
Ini kerana selalunya wanita yang mengamalkan penyusuan susu badan secara eksklusif tidak datang bulan selama penyusuannya. Penyataan ‘ibu menyusu anak tidak datang bulan’ sebenarnya tidak benar ya, kerana tidak semua wanita mengalami keadaan tersebut!
Adakah Ibu Menyusu Boleh Mengandung? Ini 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu
Bagi ibu menyusu khususnya secara ekslusif, ia merupakan perkara normal sekiranya anda masih belum datang bulan selama berbulan lamanya, ada juga yang sehingga 2 tahun. Namun ini tidak bermakna yang wanita tersebut bukan dalam keadaan subur.
Ini beberapa penjelasannya:
Selepas Bersalin #1 Jika Menyusu Badan, Kitaran Haid Tidak Normal
Ada sesetengah ibu bersalin yang keliru antara nifas dan haid selepas bersalin. Jika darah masih di bawah 60 hari, ia kemungkinan besar masih darah nifas. Namun bagi ibu yang menyusukan bayi, kitaran haid anda mungkin tidak menentu untuk beberapa bulan terawal atau mungkin tidak akan keluar selagi anda menyusu secara eksklusif.
Keadaan seperti ini dikenali sebagai Lactation Amenorrhea, iaitu keadaan di mana ibu menyusu mengalami haid yang sedikit atau tiada haid langsung. Ada wanita yang beranggapan mereka tidak akan mengandung selagi belum datang haid. Namun, tanggapan ini sama sekali salah ya, kerana telah banyak kes kehamilan tetap berlaku walaupun belum datang haid sejak selepas bersalin.

#2 Proses Ovulasi Tetap Berlaku
Walaupun tiada haid, tubuh mengalami proses ovulasi, iaitu tempoh di mana tubuh wanita membebaskan telur untuk disenyawakan. Ini bermakna kehamilan tetap boleh berlaku ya!
Sekiranya haid berlaku, seseorang boleh menganggarkan tempoh ovulasi iaitu sekitar 2 minggu sebelumnya. Tetapi bagi wanita yang tidak haid selepas bersalin, risiko hamil lebih tinggi kerana kita tidak boleh tahu waktu subur dan bila proses ovulasi terjadi.
#3 Tanda Ovulasi Walaupun Tanpa Haid
Memandangkan kitaran haid tidak sekata, jalan untuk mengetahui waktu ovulasi wanita adalah mengikut tanda berikut:
- Lendiran vagina yang berwarna jernih, kenyal dan nipis.
- Pada waktu ovulasi, suhu tubuh meningkat dari kebiasaan.
- Apabila haid mula datang, ia selalunya tidak berlaku seperti biasa. Kebanyakan wanita akan mengalami haid yang sedikit yang berupa palitan discaj berwarna coklat atau merah jambu, yang menandakan anda telah kembali subur.
Selepas Bersalin #4 Kemungkinan Hamil Tinggi
Walaupun penyusuan badan boleh bertindak sebagai perancang semulajadi untuk mencegah kehamilan, namun ia kurang berkesan dan anda masih boleh mengandung, terutamanya jika:
- bayi anda berusia lebih 6 bulan
- anda telah datang haid selepas bersalin
- bayi anda tidak menyusu dengan kerap (direct feeding) pada waktu siang dan malam
- bayi sudah mula makan makanan pejal
Selepas Bersalin #5 Kitaran Haid Normal Kembali
Setiap wanita bersalin akan mempunyai kitaran haid seperti biasa pada masa yang berlainan. Lazimnya, lebih awal haid anda kembali, maka peluang hamil juga lebih tinggu. Walaubagaimanapun, ada ibu menyusu yang akan mengalami beberapa simptom haid seperti rasa senggugut, loya,sakit punggung, dan tak sedap badan tetapi masih belum datang bulan.
Ini mungkin bermakna tubuh sedang bersedia untuk mengeluarkan haid, namun tidak berlaku lagi kerana hormon penyusuan badan masih tinggi.


