Cakaran Penanggal Di Tingkap Ikut Balik Ke Bilik

Sepanjang hidup, inilah kali pertama aku melihat makhluk ghaib betul-betul depan mata. Bukan ingin mengeluh, tetapi lebih kepada rasa syukur dengan pengalaman berharga ini.

Masa tu aku masih lagi menuntut di matrikulasi kedah (kmk batch 2012/2013). Masih segar lagi di ingatan ketika malam jumaat tu aku, Fiq dan Fadz berbual panjang di masjid selepas solat isyak. Dalam pukul 11 lebih macamtu, kami berhajat untuk pulang ke bilik masing-masing.

Masa melangkah kaki keluar dari masjid, kami terserempak dengan ustaz lan. Oleh sebab esok cuti, Ustaz lan meminta tolong kami tiga orang untuk ronda cegah maksiat di sekitar kmk. Tanpa membuang masa, kami terus melakukan apa yang disuruh bermula dari hujung bangunan pusat sumber dan makmal komputer. Kami sepakat untuk lalu di kawasan menuju ke mesin atm kerana salah seorang daripada kami berhajat untuk mengunakannya.

Ketika melalui kawasan atm itu, Fadz secara tidak semena-mena menunjukan sesuatu kepada kami dengan jari telunjuknya tertumpu ke arah bangunan atas sambil mengarahkan kami untuk melihatnya

Fadz: “Hangpa nampak dak atas tu, dekat tepi pintu tu ada apa”.

Aku dan Fiq menggelengkan kepala kerana tidak tahu apa yang dilihat Fadz sehingga membuatkan matanya terbeliak besar. Ketika Fadz menunjukan jari kearah pintu tersebut, secara tiba-tiba pintu tersebut terhempas kuat ke dinding sehingga terkejut besar kami dibuatnya. Habis menegak bulu roma, manakan tidak ketika itu hanya kami bertiga sahaja makhluk yang masih lagi merayau di kawasan kmk dengan keadaan yang sunyi sepi dan berlatarkan sedikit cahaya lampu jalan.
Secara spontan aku mengadu dalam hati, “Hang ni Fadz, masa ni jugak la mata hang nak nampak benda-benda ni semua”.

Mungkin ketika kejadian hanya aku seorang sahaja yang tahu anugerah Allah berikan kepada Fadz sehingga membuatkan matanya kadang kala tidak berlapiskan hijab. Fadz sebelum ini pernah bercerita kepada aku tentang kebolehan matanya melihat sesuatu yang tidak normal. Ya, kebolehannya melihat makhluk ghaib menjadi-jadi ketika dia masih lagi di bangku sekolah rendah. Dan keadaan kembali beransur normal tatkala dia meningkat dewasa. Hanya sesekali kebolehannya datang menyapa tanpa mengira tempat dan waktu.

Ahhh!! waktu ni jugak la semua kisah seram yang dia pernah cerita bermain di benak kepala. Oleh kerana aku malas nak melayan perasaan, aku terus melangkah kehadapan meninggalkan Fiq dan Fadz di belakang menuju ke anjung dewan kuliah yang terletak tidak terlalu jauh dari situ. Ketika sampai ke destinasi, fokus aku menangkap laju bunyi seakan-akan meriah dengan suasana pelajar berdiskusi. Mengeluh aku seorang diri.

‘waktu hujung hari macam ni pun, masih ada lagi orang study group’.

Rajin betul budak-budak matrik ni, maklumlah kalau tak “perform” alamatnya kena “shadow kick” dan berhadapan dengan “king” la jawabnya. Tetapi sangkaan aku meleset sama sekali, tatkala melangkah masuk ke anjung dewan tiada satu tubuh pun yang terlihat mata kasar. Bunyi riuh tadi terus hilang bagai ditiup angin.

Ahhh!! sudah.. terkena dah aku berbisik aku dalam hati. Tanpa buang masa terus aku lari mendapatkan Fiq dan Fadz di belakang. Melihat aku yang masih termengah-mengah menarik nafas, Fiq dan Fadz menegurku ingin mengetahui situasi yang aku hadapi sebentar tadi. Aku bertekad untuk kunci mulut dan hanya beralasankan melihat lipas yang membuatkan aku terkejut besar.

Aku menyuruh mereka terus melangkah meninggalkan dewan kuliah, oleh kerana kawasan ini sudah aku lalui. Melihat raut wajah Fadz seakan-akan dia dapat menangkap apa yang tersembunyi di sebalik muka ku yang masam mencuka. Oleh kerana penat berjalan, kami memperlahankan langkah ketika sampai di kawasan bangunan Qubic Lecturer sambil menarik nafas yang separuh hilang.

Aku, Fiq dan Fadz sepakat untuk akhiri jelajah tawaf kmk selepas melihat jam di tangan sudah hampir masuk 12 tengah malam. Debaran bermula ketika melangkah keluar dari kawasan Qubic lecturer, secara tiba-tiba terdengar bunyi seretan panjang mencakar tanah sehingga membuatkan telinga aku berdesing dan menghentikan langkah kami bertiga. Aku , Fiq dan Fadz bermain mata sesama sendiri dengan beribu persoalan bermain di fikiran. Aku mula bicara dengan bertanyakan sama ada mereka berdua juga terdengar bunyi yang sama. Mereka mengangguk faham.

Aku cuba memujuk hati mengatakan bahawa mungkin bunyi itu datang dari geseran tayar lori treler di luar. Tapi sangkaan aku meleset sekali lagi, ternyata ketika kami menoleh kebelakang pintu bilik AHU sudah terbuka luas.

“Oh!! rupanya bunyi geseran itu datang dari sendal besi pintu yang bergesel ke tanah.”

Jawapan yang terkeluar dari mulut Fiq tidak cukup meredakan situasi ketika itu. Kami bertiga duduk mencangkung sambil melihat ke arah bilik AHU yang bercahaya terpampang di hadapan mata.

Fiq : ” Tak perasan pulak aku ada orang masuk tadi.

Fadz: ” pintu bilik tertutup rapat mesti ada tangan-tangan gatal yang membukanya”.

Aku: ” Nak terjah tak tengok mana tau kot ada orang lari masuk dalam sebab terkejut kita mai tak bagi salam”.

Ahhh!! dalam hati aku meragam kecewa dengan kata spontan yang keluar dari mulut aku. Apa yang aku cakap, ini kerja gila. Manusia manalah yang menyendiri di kawasan yang tidak berpenghuni di malam buta ini. Kalau ada pun mungkin pak guard yang meronda di kawasan ini.

Menjawab daripada situasi yang tiada hujungnya itu, secara tergesa-gesa Fadz mengajak kami berdua untuk beredar daripada kawasan itu sambil meninggalkan beribu tanda tanya yang belum terungkai. Tatkala menuruni anak bukit melepasi kawasan tempat letak kereta jauh sedikit daripada bilik AHU. Fadz dengan nada gemuruhnya menyuruh kami toleh kebelakang, sekali lagi tangannya lurus terpaku ke arah bilik
AHU.

Fadz: ” Kimi..Fiq.. hangpa nampak dak tu yang berdiri depan bilik AHU”.

Terkesima aku dengan arahannya, sambil sepasang mata ini mencari sudut bilik AHU yang terbuka luas berlatarkan cahaya lampunya yang terang. Astaghf !!..tak terhabis mulut aku mengucap sambil ternganga luas melihat sebujur objek berbentuk kepala manusia dengan rambutnya panjang ikal mayang. Perutnya terburai sehingga mencecah tanah.

Ya, pernah tengok cerita penangal, sebijik macam dalam cerita thailand. Apa lagi, kaki aku seakan bergerak dengan sendirinya, fokus aku hilang entah kemana. Jantungku bagaikan hendak luruh, hormon adrenalin aku memancut keotak. Kedua-dua kaki ku yang sudah lembik, aku gagahkan jugak untuk berjalan lurus. Nasib masih lagi berbaki kesedaran dalam hati aku, kalau tidak sudah lama tubuh aku pengsan jatuh menyembah bumi.

Aku sudah memasang beribu anak langkah meninggalkan mereka berdua di belakang.Ahhh, lantak la apa yang jadi..yang penting aku jauh dari kawasan itu. Tertingal di belakangku, Fiq yang masih tercari-cari di mana arah yang ditujukan oleh jari telunjuk Fadz. Tatkala sudah melihat apa yang dihajatinya, Fiq bagaikan hilang arah dan lantas memecut “out meter” cuba memotongku di hadapan meninggalkan Fadz yang masih tegak di belakang.

Fadz menjerit perlahan ke arah kami berdua sambil kakinya cuba mencapai langkah kami yang laju mengkuda.

Fadz: ” weh, hangpa jangan lari satgi dia perasan kita nampak dia”.

Ahhh… bukan aku yang nak lari, kaki aku dah tak boleh nak di kawalnya. Kalau lumba berjalan kaki ketika itu, mungkin aku ada peluang untuk dapat johan.

Fadz:” aduhh..dia dah perasan”.

Fiq: “serius, kaki aku dah tak boleh nak perlahan”.

Akhirnya berjaya jugak kami bertiga berjalan jauh meninggalkan kawasan itu. Walaupun jauh dari pandangan, tetapi getar badan aku masih belum hilang. Ketika sudah sampai di penghujung pintu masuk asrama lelaki, jiran blok aku sambil kedua-dua tangannya memegang botol kosong barangkali untuk pergi mengisi air cuba rapat ke arah kami tatkala melihat wajah kami yang pucat kesi bagaikan mayat hidup berjalan terumbang-ambing. Dengan spontan kami bertiga menyuruhnya batalkan hajat untuk pergi mengisi air.

Tanpa banyak soal dia patuh berlari anak bersama kami untuk naik ke bilik asrama masing-masing. Fadz bergerak terus kebiliknya tanpa banyak soal. Manakala aku membatalkan hajatku untuk balik kebilik sendiri dan mengikut Fiq balik ke biliknya. Sudah sampai di bilik Fiq, akhirnya aku boleh menarik sedikit nafas lega. Biliknya riuh rendah dengan rakan-rakan yang belum tidur menongkat kepala bermain dota. Fiq mencapai komputer ribanya cuba tenangkan fikiran dengan bermain muka buku, manakala aku masih lagi diam membisu duduk disudut biliknya. Tiada sepatah kata mampu keluar dari mulut ini untuk dibicarakan.

Saat termenung aku cuba mengalihkan pandangan ke arah skrin laptop rakan bilik si Fiq. Tanpaku sedar sudah ku habiskan satu episode cerita “Runningman” yang di pasang oleh kawannya. Itulah kali pertama aku mengenali “Runningman”, penyelamat aku dikala hati aku kusut. Sedikit demi sedikit, aku mampu lupakan apa yang terjadi pada malam itu. Sedar tak sedar, jam di tangan sudah masuk waktu 2.30 pagi. Dengan perasaan yang sedikit tenteram, aku minta diri untuk balik ke bilik sendiri. Sudah kepala ini kembali normal, baru aku teringat pesanan ummi untuk mengamalkan bacaan ayatul kursi tika menghadapi musibah. Aku membacanya tanpa henti sehingga sampai ke bilik. Habis memulas tombol pintu, alangkah terkejutnya bilik aku gelap gelita. Aduhhh.. aku lupa esok cuti, selalunya rakan bilik aku kelantan, kl dan kedah selalu lepak di bilik “member” mereka masing-masing.

Hendak kembali ke bilik Fiq, memang tidaklah aku lebih selesa tidur di bilik sendiri. Bilik Fiq juga sudah penuh dengan budak-budak riuh bermain game. Aku cuba jugak kuatkan diri masuk kebilik. Aku berpura-pura menipu diri menyembunyi perasaan takut jauh dari sudut hati. Entah dimana silapnya, mungkin kerana terkejut besar telah membuatkan aku sedikit berani. Yang aku pasti, ayatul kursi sedikit sebanyak mententeramkan perasaaan sehinggakan aku hanya tidur bercahayakan mentol kecil lampu meja. Mataku hanya tertumpu kepada lampu meja sambil tangan kuat menekup telinga dengan bantal. Manakan tidak, malamku tidur di temani bunyi-bunyi cakaran seolah-olah mahu mencabut keluar tingkap bilik yang ada. Aku belum kuat untuk menoleh ke belakang, walaupun kuat hatiku mengatakan ada sesuatu yang baring bersamaku berkongsi katil.

Mataku terlelap dengan sendirinya oleh kepenatan hari semalam. Keesokannya, selepas solat jumaat aku tercari-cari jasad Fadz yang belum terlihat lagi sepanjang hari.Terpanggil aku kebiliknya, alangkah terkejut aku melihat disisinya rakan sebilik masih lagi terkumat-kumit membaca yassin disampingnya.

Terketar-ketar tubuh badan Fadz ditutupinya dengan kain selimut akibat demam. Aku mengantikan rakan sebiliknya untuk membaca yassin kepadanya agar dia kembali pulih semangat. Seminggu berlalu, baru Fadz membuka mulut bercerita kepada aku dan Fiq akan apa yang terjadi kepadannya di malam itu.

Katanya pada malam kejadian, selepas dia menolak tutup pintu bilik dan terus menghempas badan ke katil. Secara tiba-tiba bagaikan angin mencelah masuk dari ruang pintu bilik menerjah dan menerkamnya sehingga membuatkan badannya lumpuh tidak mampu bergerak. Di depannya terlihat makhluk seakan penanggal, mukanya tua dan pipinya cengkung kedalam. Darah masih lagi mengalir di celah-celah ususnya yang berbelit diluar. Dengan suara garau makhluk itu memarahinya kerana fadz cuba menunjukkan lokasi tempatnya duduk kepada kami berdua.

Makhluk itu sebenarnya sudah tahu bahawa Fadz mampu melihatnya, tetapi yang membuatkan dia naik angin apabila aku dan fiq terbuka hijab melihatnya selepas di suruh lihat oleh fadz pada malam itu. Makhluk itu memberi amaran agar jangan mendekati tempat tinggalnya lagi. Ya, dibilik AHU itu kawasannya. Kata Fadz berseloroh, makhluk itu juga bertanyakan bilik kami berdua dan dia mahu menjenguk kami pada malam itu.

Bilik aku hanya berselangkan ampaian jemuran dengan bilik Fadz. Patutlah habis berbekas seakan-akan lendir di tingkap bilik aku keesokan hari. Fiq pula katanya sama juga seperti aku, malam itu dia di ganggu dengan bunyian cakaran di tingkap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *