Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-quran yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.
Terdapat perbezaan hukum menziarahi kubur untuk wanita dan lelaki.
Hukum Ziarah Kubur Bagi Lelaki
Para ulama sepakat mengatakan bahawasunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam berdasarkan hadis:
Daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu, RasulullahShallalahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”
Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnya tidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perkuburan.
Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.
Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu,katanya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya”. Lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”
Wanita boleh ziarah kubur cumanya tidak digalakkan kerana takut emosi lebih menguasai diri. Jika rasa diri mampu untuk bersabar dan kawal emosi, silakan ziarah kubur. Kerana hukumnya bukan haram, hanya makruh.
Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan.
RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.”