Kayap – Boleh Menyebabkan Kematian?

Kayap (‘shingles’) merupakan suatu penyakit yang ditakuti oleh masyarakat Melayu kerana wujudnya kepercayaan yang menyatakan kayap boleh menyebabkan kematian apabila ruam kayap meliliti sekeliling tubuh atau bertemu di tengah bahagian badan.

Bagaimana kayap ini boleh berlaku?

Sebenarnya, kayap ialah satu penyakit yang diakibatkan oleh pengaktifan semula virus yang telah lama bersembunyi  di dalam saraf. Virus ini mula bersarang di dalam saraf  selepas seseorang itu mengalami penyakit ‘chickenpox’. Oleh itu, sesiapa yang pernah mengalami penyakit ‘chickenpox’ mempunyai risiko untuk  mendapat penyakit kayap terutamanya ketika daya tahan imun badan menurun.

Kenapa kayap sering berlaku pada sebelah bahagian badan sahaja?

Ruam kayap akan timbul di permukaan kulit yang disaluri oleh saraf yang dijangkiti oleh virus tersebut sahaja.  Saraf di kulit berasal dari saraf tunjang (‘spinal cord’) yang bertempat di tulang belakang manusia.  Di antara setiap tulang belakang, saraf tunjang mengeluarkan cabang-cabang saraf di sebelah kanan dan kiri badan yang seterusnya akan meliliti di sekeliling tubuh sehingga ke bahagian tengah hadapan permukaan badan.

Permukaan kulit yang dilalui dan dibekalkan deria sentuhan/sakit/ oleh setiap saraf ini diberi nama ‘dermatome’ dan apabila virus varicella zoster menjadi aktif semula di sesuatu saraf tersebut, rasa sakit, kemerahan  dan ruam kayap akan timbul di kawasan  dermatome yang terlibat .

Kayap boleh timbul di mana-mana sahaja di permukaan kulit. Sekiranya lebih dari satu saraf yang dijangkiti, ruam kayap akan melibatkan kawasan yang lebih luas dan mungkin juga kedua-dua belah kanan dan kiri badan. Biasanya kayap akan melibatkan kawasan permukaan kulit yang luas pada pesakit  yang mempunyai daya tahan (‘immune’) yang sangat rendah seperti  pesakit kencing manis yang tidak terkawal, pesakit  HIV/AIDS,  penghidap barah,  pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi dan sebagainya.

Bagaimana saya tahu sama ada saya terkena kayap?

Pesakit akan merasa sakit pada kawasan saraf yang terlibat selama 2-3 hari sebelum munculnya sebarang ruam di kawasan tersebut. Sesetengah pesakit merasa kesakitan yang amat sangat sehinggakan mereka perlu mendapatkan rawatan doktor.

Ruam kayap bermula dengan bintik merah yang akan berubah menjadi gelembung –gelembung kecil berisi cecair di atas permukaan kulit yang kemerahan. Beberapa hari kemudian, gelembung-gelembung ini akan menjadi kering dan ditutupi selaput kering berwarna hitam.

Jika seseorang pesakit tampil ke hospital dengan rasa sakit tanpa ruam, diagnosa kayap mungkin tidak dapat dibuat pada waktu tersebut . Sekiranya kesakitan dirasai di dada sebelah kiri, pesakit mungkin perlu menjalani ujian untuk mempastikan pesakit tidak mengalami  serangan jantung sebelum diagnosa kayap boleh diputuskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *