Pelajar Perubatan USM, Terkena BADI MAYAT

Menjadi seorang pelajar perubatan, memang salah satu subtopik yang perlu dipelajari adalah anatomi, iaitu mempelajari struktur tubuh badan manusia. Daripada sekecil-kecil saraf, sehinggalah sebesar-besar tulang-temulang, jantung, otak dan paru-paru.

Belajar di Universti Sains Malaysia, kelulusan kami adalah Medical Doctor (MD), bukan MBBS macam Universiti malaya. Jadi agak terhad pembelajaran mengenai anatomi, maksud aku, tiada peluang untuk kami belah kadaver (mayat), atau dikenali sebagai dissection. Pengajian kami lebih kepada menumpu kepada penyakit yang berkaitan perubatan, bukan pembedahan.

Aku baik dengan Professor Madya Othman. Beliau merupakan pensyarah di bahagian anatomi sewaktu aku berada di tahun satu sekolah perubatan. Yang bagusnya, disebabkan aku baik dengan beliau, bila-bila masa beliau ada nak dissect kadaver, beliau akan panggil aku untuk sertai.

Di muzium anatomi, di ruangan tersembunyi dibelakang, terdapat tempat penyimpanan mayat. Mayat-mayat tersebut disusun di dalam satu tempat berbentuk seperti tab mandi, dan terendam di dalam larutan formaldehyde dan chloral hydrate kalau tak silap aku.

Mayat tersebut disusun dalam posisi berlawanan antara satu sama lain, maksud aku, untuk mayat di bawah, kakinya berada di kepala mayat di atasnya. Dan bertimpa-timpa antara satu sama lain. Ya, bukan satu mayat sahaja didalam satu tab, ada sampai 3 hingga 4 keseluruhannya.

Kebanyakkan mayat-mayat ini adalah jenazah yang tidak dituntut daripada Malaysia juga. Tak silap aku, Prof mengatakan ada juga beberapa mayat daripada India dan negara-negara jiran. Jadi, pada suatu hari ni, Prof menghantar sms kepada aku, mengatakan beliau nak dissect satu mayat petang ni. Aku seperti biasa, agak teruja, ditambah lagi apabila beliau mengatakan bahagian yang ingin dipotong adalah otak, kerana aku minat subjek neurologi sewaktu aku di tahun satu dahulu.

Namun, biasanya dissection ni, hanya 5 peratus sahaja yang aku dapat buat, selebihnya prof yang buat. Prof sedikit perfectionist, apatah lagi saat berurusan dengan satu tubuh yang pernah menjadi manusia. Dissection perlu dilakukan dengan berhati-hati dan penuh teliti. Aku tiba di bilik penyimpanan kadaver.

Bau formaldehyde menusuk hidung. Sangat kuat, ibarat bau Clorox. Baunya amat menusuk walaupun aku dah pakai mask siap-siap. Di situ, apron juga aku harus pakai, takut-takut terpercik cecair dan bendalir yang berada di dalam badan mayat yang kebanyakkanya dah berusia 3 hingga 4 tahun. Kadangkala cecair tersebut amat berbahaya, dan kadangkala kalau terpercik dengan bau mayat, alamatnya, kau kena buangkan sahajalah pakaian yang terkena tu. Kalau terkena di tangan, seminggulah kau kena makan guna sudu.

Disebabkan dissection pada hari itu adalah otak, maka, professor, meminta aku memindahklan satu jasad di atas meja. Agak berat juga. Aku lihat, bahagian muka mayat tersebut dibaluti kain putih. Memang kesemua bahagian muka mayat-mayat di situ dibaluti kain putih.

Aku juga perasan, bahagian badan mayat tersebut penuh dengan tatu. Terus aku tanya kepada Prof.

“Prof, body ni daripada mana actually?”

“Ni daripada Pulau Pinang ni. Tak dituntut, jadi terus diserahkan kepada universiti selepas beberapa bulan”

“Oh, prof tahu cause of death dia?”

“Ni kes terjun jambatan Pulau-Pinang ni, mati lemas”

Aku menganggguk sahaja. Terjawab persoalan aku. Aku tahu, untuk mayat yang tak dituntut dan disimpan melebihi 14 hari, dan bukan Islam akan diserahkan ke pihak universiti untuk tujuan akademik. Bukan semualah, namun kebanyakkannya, itulah prosedurnya untuk mendapatkan mayat mengikuti garis panduan (SOP).

Professor mengarahkan aku membuka kain putih yang membaluti tubuh jenazah. Terketar-ketar juga aku. Walaupun ini dah kali ketiga aku assist prof, aku masih takut juga, sebabnya tak pernah aku lihat lagi dissection untuk bahagia kepala.

Agak mengerikan juga apabila kain tersebut dibuka. Saat melihat muka mayat tersebut, memang aku jadi sedikit cuak. Memang pucat lesi, sebelah matanya terbuka dan terjegil manakala sebelah lagi tertutup. Mulutnya sedikit terbuka menampakkan giginya yang bewarna kuning akibat pereputan walaupun terendam dalam cecair pengawet.

Saat aku menyentuh sahaja bahagian kepala mayat tersebut, memang dapat kurasakan sejuk benar kulitnya, walaupun aku memakai sarung tangan getah. Pucat lesi juga muka aku. Prof bertanya adakah aku okay, aku berdalih, mengatakan suhu bilik tersebut terlalu sejuk.

Dissection dimulakan. Dipotong perlahan-lahan di bahagian kulit kepala mayat itu. Aku lihat, tangan prof sungguh laju, sungguh pantas dan lancar, bagai melihat chef Gordon Ramsay memotong ayam. Prof memberi aku peluang juga untuk memotong, dan membelah. Ditunjuknya aku di mana nak belah. Dia memerhatikan pergerakkan aku macam burung helang.

2 jam kemudian, bahagian otak dah dikeluarkan, dan direndam di dalam satu cecair setelah bahagian tempurung kepalanya digergaji. Bising juga bunyi gergaji yang memotong bahagian tengkorak pesakit itu. Alat yang lebih kurang sama macam angle grinder, kalau korang nak tahu. Dan sejam kemudian, semuanya selesai.

Aku mengucapkan terima kasih kepada prof atas segala ilmu yang dikongsikan bersama. Macam biasa, prof memesan;

“Ingat, lepas ni jangan balik bilik terus, pergi makan dulu, keluar dulu, dan lewat sikit, baru balik bilik”

Memang itulah pesanan prof. Takut ada yang mengikut katanya. Aku berjalan keluar daripada kampus perubatan ke kedai makan. Tapi perut aku memulas-mulas pula tiba-tiba. Terus aku lari ke desasiswa untuk ke tandas. Untuk pengetahuan, desasiswa tu merupakan panggilan kepada asrama di USM.

Habis sahaja menunaikan hajat, aku terus masuk ke bilikku. Lupa apa yang dipesan oleh prof.

Aku tertidur, keletihan. Sewaktu itu, memang bukan hari hujung minggu, namun tengah cuti selama 2 minggu. Aku malas nak balik Johor, lagipun aku nak sertai banyak aktiviti yang aku kira boleh menambah ilmu pengetahuanku dan aku manfaatkan masa untuk study juga.

Aku mimpi sesuatu yang buruk. Aku mimpi didatangani oleh suatu lembaga, yang berupa seiras dengan mayat yang aku belah. Aku dapati dia berbaring di sebelahku, namun badannya dibaluti kain putih, macam pocong. Mukanya menyeringai sahaja memandang aku.

Aku terkejut. Berdebar-debar jantungku. Terus aku terjaga dan bingkas duduk. Kulihat jam sudah 6.45 petang. Bilikku suram kerana waktu itu, memang dah hampir senja. Lampu pula tak aku buka sebelum aku tidur jam 4.00 petang tadi.

Aku segera buka lampu, dan ke tandas, untuk mandi dan berwudhu’. Kulihat, lampu tandas tak terbuka lagi, maklumlah biasanya jam 7.00 malam barulah semua lampu di desasiswa aku terbuka. Jadi agak suram walaupun lampu di bahagian koridor itu sentiasa terbuka.

Aku membasuh muka, saat aku melihat cermin di tandas, aku perasan akan sekujur tubuh dibelakangku. Aku terpaku. Cuak. Perasan juga aku rupa makhluk itu, yang serupa macam manusia. Namun aku tak dapat pastikan betul-betul sebab aku menoleh sepantas kilat. Itulah tindakan refleks aku.

Bila aku pusing ke belakang, tiada apa-apa. Saat itu, aku segera sempurnakan wudhu’ aku, dan terus berlari ke bilik untuk solat asar. Mungkin mainan perasaan aku sahaja. Puas kubacakan ayat Kursi, sampai 21 kali, maklumlah dah dua kali berturut-turut pula, walaupun satu dalam mimpi, dan satu lagi aku tak dapat betul-betul memastikan kewujudannya.

Saat itu, sudahlah hanya tinggal aku seorang sahaja di asrama kerana teman-teman lain sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Aku cuak juga, takut sekiranya makhluk itu memunculkan dirinya lagi.

Aku bebaring di katil, menghadap dinding. Saat aku pusingkan badan sahaja ke kanan,

“Ya Allah!”, terpacul daripada mulutku saat penampakkan sekujur tubuh yang betul-betul berdiri di sisi katil. Saat ku tenung mukanya, terus dia menyeringai sambil mengeluarkan bunyi seakan-akan bunyi pemotong elektrik yang digunakan sewaktu memotong tengkorak mayat tadi. Matanya sebelah terbelolok keluar, dan sebelah lagi tertutup separuh.

Aku tergamam. Ku tutup mataku dengan tangan, dan sekali lagi aku tersentak apabila kedengaran azan Subuh. Ternyata, aku bermimpi lagi. Tapi aku boleh rasakan seolah-olah perkara tersebut betul-betul terjadi.

Masuk hari ketiga, sememangnya hari yang agak menyeksakan untuk diriku. Tidur tak boleh,dan apabila bangun, dan berada di kawasan yang agak suram, ‘dia’ datang memunculkan dirinya lagi. Memang selalu aku terperasan di pandangan sisi mataku, kelibat orang melintas ke sana dan ke sini.

Ada sekali tu, saat aku terlelap, aku rasa bahu kiri aku disentuh, dan kemudian mendengar bunyi nafas ibarat bunyi nafas anjing yang sedang bernafas sambil lidahnya yang terjelir itu. Sungguh menakutkan. AKu berjumpa dengan senior aku, dan mereka menyuruh aku berjumpa dengan pakar psychiatrist. Aku tak mahu memberitahu Prof Othman mengenai perkara ini, maklumlah, aku baru sahaja melanggar apa yang disuruhnya.

Aku berjumpa terus dengan salah seorang psychiatrist, merangkap pensyarah aku, Dr Hanim. Aku ceritakan kepada Dr Hanim mengenai keadaan aku. DIagnosis Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) dbuat, dan aku diberi 2 jenis ubat.

Pulang ke asrama, aku makan ubat tersebut. Memang agak mengantuk, dan waktu itu, aku ingin mandi dan bersedia untuk solat Asar. Aku masuk ke bilik air, membawa tuala dan sabun. Sedang aku mandi, sekali lagi aku rasa bahu kiri aku dipegang. Cepat aku menoleh, tetapi tiada apa-apa.

Aku balik ke bilik setelah aku mandi cepat-cepat, dan solat Asar. Kesan ubat yang diberikan menyebabkan aku terlelap, dan sekali lagi aku ternampak satu lembaga lelaki dengan badan penuh bertatu betul-betul berdiri di sebelah katilku.

Ku tatap mukanya yang pucat, dan mata yang sebelah terbuka dan sebelah tertutup sambil mulutnya yang terbuka menampakkan giginya yang berkarat. Aku tak boleh bergerak, dan tak boleh buat apa-apa. AKu lihat dia menghampiri telingaku, dan bunyi nafas sama macam sebelum ni, nafas anjing semakin lama semakin kuat.

AKu dapat rasakan nafasnya yang suam itu di telingaku. Tetapi aku tergamam dan tak mampu bergerak.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar!”

Azan maghrib mengejutkan aku. Sekali lagi aku bermimpi perkara yang seakan-akan sama temanya, mayat. Sepanjang malam aku tak tidur, dan apabila otak aku terlalu letih akibat tak habis-habis diganggu aku rasa sudah cukup. Aku dah tak tertahan dan segera aku menelefon Prof Othman pagi itu.

“Boleh awak datang ke rumah saya? Di Pasir Tumboh”, katanya setelah aku menerangkan gangguan tersebut.

Satu per satu peristiwa yang berlaku aku ceritakan. Walaupun pada asalnya aku cuba berdalih, menyatakan bahawa aku tidak terus pulang ke bilik, tetapi akhirnya aku mengaku juga. Dan memandangkan aku memandu sebuah kereta disini, tiada masalah untuk aku ke rumahnya yang terletak lebih kurang 3 kilometer daripada HUSM.

Setiba aku di rumahnya, aku lihat dia masih bercakap-cakap di telefon. Saat dia meletakkan sahaja panggilan tersebut, terus dia kata dengan aku

“Don’t worry, saya dah call ustaz”, katanya sambil tersenyum.

Isterinya ke ruang tamu menghidangkan aku secawan kopi.

“Kenapa teruk sangat saya kena kacau prof?”, aku bertanya

“La, inilah orang panggil badi mayat. Sebenarnya lebih kepada psikologi awak, tetapi ada juga kadangkala yang memang benda tu ikut awak sampai ke bilik, dan nak menetap bersama awak. Maklumlah dah lama dia menumpang di bilik mayat tu sahaja”, katanya.

Cuak juga aku dengar. Memang aku pernah mendengar orang membicarakan mengenai badi mayat, tetapi aku tak sangka sampai begitu sekali kesannya pada diri aku.

“So, what if benda tu ikut saya balik prof?”, tanya aku

“Ha, kat sinilah datangnya peranan ustaz tu, biar dia tengokkan awak dulu. Sebab tahun lepas, ada salah seorang pelajar master anatomy ni pun jadi macam tu lepas dissect satu kadaver”, katanya.

“Oh, pernah terjadi ke sebelum ni?”, aku bertanya hendakkan kepastian.

“Ya, pernah. Selalu sebenarnya, daripada situlah saya kenal ustaz ni, sebab kadangkala walaupun ikut apa yang kita belajar kan, masalah ni macam ala-ala Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD), tapi ada juga yang bukan”, kata Prof Othman sambil menghirup kopi, sama seperti apa yang diberitahu oleh pakar psychiatrist yang aku jumpa.

“Macamana kita nak tahu masalah ni nak kena treat dengan psychiatrist atau kena treat dengan ustaz?”, aku bertanya lagi.

“Hmm, itu susah sikit. Biasanya saya akan suruh orang yang kena ni jumpa psychiatrist. Kalau lepas dah makan ubat pun masih tak henti-henti lagi gangguan, masa itulah saya akan syorkan jumpa ustaz ni. Jadi, alang-alang awak dah beritahu saya, bagus lagi kalau jumpa ustaz ni dulu”, jawabnya.

Aku mendiamkan diri, berasa bersalah juga, masakan tidak, ini semua gara-gara perbuatan aku yang tidak mengikut cakapnya. Tapi apa sekalipun, aku memerlukan rawatan.

40 minit kemudian, seorang lelaki berambut putih, berkopiah dan berjubah tiba di perkarangan rumah Prof Othman. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Sulaiman.

Setelah diceritakan apa yang berlaku terhadap aku, ustaz Sulaiman memberi aku segelas air. Air Yassin. Setelah soalan demi soalan ditanyakan kepadaku, dia membaca sesuatu. Terkumat-kamit mulutnya, dan aku dapat menangkap juga beberapa bacaan daripada surah Yassin dan Surah Al-Falaq.

Kemudian dia diam sahaja. Memandang aku tanpa membuat apa-apa. 5 minit juga. Aku rasa mungkin dia ingin men’diagnos’ aku semasa itu. Kemudiannya dia tersenyum, seraya berkata,

“Apa saya nak pesan, macam ni, satu, jangan sekali-kali tidur di waktu selepas Asar, beberapa minit sebelum Subuh dan waktu diantara Maghrib dan Isya’. Sewaktu itu, badan kita berada di dalam keadaan yang tersangat lemah”

Aku mengangguk. Memang aku pun pernah mendengar orang memesan supaya jangan tidur pada waktu-waktu sedemikian. Even rasulullah pun ada memesan, ada waktu-waktu yang tak digalakkan untuk tidur. Dia kemudiannya menyambung,

“Dan yang kedua, ingat, baca Ayat Kursi tiga kali, 3 Kul dan doa tidur sebelum tidur. Jangan lupa untuk ambil wudhu’ juga. Sebabnya, kalau gangguan nak terjadi, biasanya akan berlaku pada waktu kita sedang tidur. Jadi lepas saya lihat awak ni, insha Allah tiada yang bukan-bukan mengikut awak balik, mungkin semuanya mainan perasaan. Cuma ingat, kalau ada gangguan-gangguan lagi, awak boleh hubungi saya semula”.

“Ubat yang psychiatrist tu bagi macamana ustaz? Nak teruskan makan ke?”, tanyaku.

“Ya, sudah tentu, kita ikhtiar dua-dua cara sekali, Insha Allah boleh”, katanya

Pulang sahaja ke asrama, aku mula membaca Al-Quran semula. Maklumlah, dah lama aku tak menyentuh kitab suci itu, dan aku selalu pastikan diri aku untuk mengikuti nasihat-nasihat yang diberikan oleh Ustaz Sulaiman. Ubat yang diberikan oleh Dr Hanim juga aku makan seperti biasa.

Alhamdulillah, ternyata gangguan-gangguan sedemikian tidaklah hilang sepenuhnya, tetapi berkurangan sedikit demi sedikit. Dan akhirnya, selepas 2 minggu, tiada lagi penampakan mahupun bayangan-bayangan yang mengerikan menghantui aku lagi. Sewaktu aku datang untuk follow-up dengan Dr Hanim, dia juga menghentikan ubat-ubatan aku secara perlahan-lahan, sehinggalah selepas 1 bulan setengah, aku tak memerlukan lagi ubat-ubatan itu.

Memang sebagai seorang pelajar perubatan, atau ahli sains, kita akan menganggap perkara-perkara sebegini berlaku kesan daripada keadaan mental kita yang terkejut taktala terlihat sesuatu yang mengerikan, seperti mayat, kemalangan, peperangan atau kematian. Penyakit ini yang kita gelar sebagai PTSD.

Namun, sebagai umat Islam, kita perlu mempercayai akan kewujudan makhluk-makhluk yang kita tak dapat lihat dengan mata kasar, atau tak dapat diterangkan melalui logik akal dan sains. Itulah sebabnya walaupun seseorang itu yang telahpun bergelar professor, atau berada di jawatan yang tinggi dengan pengalaman berpuluh tahun sebagai pakar anatomi ataupun forensik, mereka masih mempercayai bahawa memang ada ketika yang mana ‘benda-benda’ tersebut boleh mengikut kita balik, dan itulah sebabnya mengapa mereka akan sentiasa berpesan untuk tidak pulang terus ke bilik atau rumah, selesai sahaja menguruskan mayat.

Wallahu’alam

TAMAT

Via Fiksyen Shasha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *